|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
ZON

Apabila kita sudah melepasi suatu jarak dalam kehidupan sering kita mahu memandang ke belakang seketika, mengimbau saat-saat diri kita paling unggul dalam hidup. Keunggulan itu pasti subjektif bagi setiap individu. Orang lain menyatakan keunggulan kita pada satu-satu masa, tapi diri kita sendiri memikirkan keunggulan itu pada masa berbeza.

Di sini aku berhenti seketika memandang ke belakang semula. Mencari zon paling aku unggul dalam bersemangat. Hati aku kuat menjerit untuk balik ke Zon Semangat itu. Ada orang, mereka itu mencari zon itu di belakang, tentu tiada kerana diri mereka membangun secara sistematik, bertumbuh semangat berkadar dengan masa yang mendatang. Mereka paling unggul pada hari ini dan inshaAllah lebih unggul keesokannya.

Tapi aku merasakan, aku telah kecundang di titik aku berada kini. Kesilapan demi kesilapan melemahkan semangat aku. Nikmat yang aku terima banyak. Ya, makin bertambah lebih dari di zaman lampau di belakang. Tapi usaha memanfaatkan nikmat itu aku merasakan kian luput atau lekeh kekuatannya. Aku hilang semangat di Zon Selesa.

FIKIRAN

Membuat kerja-kerja gila dan menempah sengsara suatu hal dalam hidup aku. Tak membuat apa-apa kerja dan cuba melarikan diri dari kesengsaraan juga suatu hal yang sedang membelenggu. Sudah jadi apa dengan diriku? Itu yang aku ingin tanyakan. Ya, sering kita diajarkan cara menyusun semula hidup adalah mengasingkan antara masalah, peluang, matlamat, keperluan dan kehendak. Namun, berkecamuknya aku di titik ini lebih kepada kecamuknya sistem menyusun itu tadi.

Aku sering menyatakan, asalnya aku berfikir secara bercabang-cabang hingga cabang-cabang itu mengeluarkan dahan-dahan pula. Setiap cabang adalah perkara yang difikirkan, manakala dahan-dahan yang keluar darinya adalah pelan-pelan tindakan yang boleh diambil. Setiap pelan pasti ada pelan yang akan jadi pelan alternatif jika pelan yang satu itu gagal. Kemudian selepas setiap cabang dan dahan telah siap bertunas rimbun, aku akan kembali melihat keseluruhan pokok fikiran aku tersebut. Di situ aku berkecamuk. Lalu aku mengambil langkah memotong setiap cabang perkara bersama-sama dahan-dahannya yang ada beribu, beratus atau berpuluh itu, kemudian aku simpankan mereka dalam almari yang punya laci-laci. Sesudah menyusun setiap satu dalam laci-laci mengikut keutamaan, maka fikiran aku yang sebelum ini sebuah pokok menjadi sebesar-besar almari yang punya jutaan laci.

Dari situ aku akan pilih laci mana yang aku perlu buka untuk lakukan apa yang aku perlu lakukan waktu itu, sambil perkara dan masalah lain tersimpan kemas dalam laci masing-masing. Aku akan usahakan untuk menyelesaikan satu persatu laci, sehingga akhirnya setiap cabang dan dahan dapat dikurangkan dan segala perkara dapat diselesaikan, seterusnya aku boleh mati dengan penuh rasa puas. Itu bagaimana cara aku berfikir untuk hilangkan kecamuknya fikiran.

Nampaknya sistem laci tadi sudah berkecamuk. Aku membuka satu laci, sambil tangan aku yang satu lagi menjengah laci yang lain. Kemudian ada laci lain terbuka, dan aku cuba menutup yang itu, yang lain tersembul dan tersembul banyak-banyak hingga aku pengsan di lantai hidup aku menyerah kalah dan penat lelah. Di situ aku cuba bangkit. Bangkit untuk mengemas laci-laci tadi, kemudiannya bersemangat untuk menyelesaikan setiap hal dan perkara. Tapi tidak semudah itu. Jiwa dan hati yang sakit. Entah, inikah dinamakan mental disorder atau sakit jiwa?

ZAMAN

Di waktu dulu bukan sedikit orang memanggil aku gila. Sejak kecil, dengan adik beradik saja bila marah dan dimarahi, bergaduh anak-anak kecil ini, sering saja ungkapan "gila" disebut-sebut. Kalau kita buat lawak dan buat orang ketawa dan gembira pun, orang masih mengungkap kata-kata "gila" itu. Begitu juga apabila aku membuat orang menangis, "gila" juga yang disebut. Baik marah, gembira atau sedih terluka, "gila" adalah ungkapan yang ditacap dari mulut orang ke muka aku.

Kegilaan-kegilaan itu pula terserlah dengan idea gila-gila seiring dengan membesarnya aku menjadi remaja dan dewasa hari ini. Apakah aku seorang gila kini sudah diterima sebagai ahli masyarakat yang tak gila? Atau masyarakat yang masih gila menerima aku yang gila ini? Atau aku dan masyarakat tidak gila, tapi kita sering menggilai satu sama lain. Bukankah itu satu kegilaan?

Pasti, segala permasalahan zaman ini ada penyelesaiannya. Begitu juga aku dalam mengungkap diari yang penuh kata-kata tersirat puitis sastera penuh misteri yang menyusahkan untuk orang memahami bahasa blogger. Di situ lawannya arus buat diri aku sendiri, tatkala orang berpusu-pusu memenuhkan bibit dan saat hidup mereka di twitter atau facebook, aku di sini pulang ke belakang menulis di blog semula. Aku ingin balik ke Zon Semangat itu dengan cara kembali meletakkan buah fikir yang kini lebih kompleks memecah benteng kelogikan akal manusia untuk memahami dalam pembacaan hingga orang tidak lagi akan berani membaca tulisan-tulisan aku kerana tahap meletakkan suatu cerita sudah tidak normal dalam kebiasaan dan sudah mengherot ke dunia penulisan baru penuh misteri eksklusif bagi diri aku semata-mata.

bersambung..