|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Syukur kepada Allah Yang Menguasai sekalian alam, dan selawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda.

Selamat datang buat para 'kouhai' yang baru tiba hari ini.Terima kasih buat semua 'senpai' yang hadir dalam majlis meraikan kedatangan kouhai , majlis taaruf yang diharapkan mendapat redha dari Allah s.w.t ini.

Bagi diri aku, hidup di Toyama mungkin hanya tinggal beberapa hari saja lagi sebelum dijadual pulang ke Malaysia Sabtu ini.Bagi para kouhai pula, mungkin hari ini permulaan kepada kehidupan yang panjang di Toyama dan inshaAllah dijadual akan tamat pengajian di sini 4 tahun akan datang.Wajah-wajah pelajar Malaysia yang pernah hidup dan berkumpul seperti majlis hari ini di Toyama pada 6 tahun atau 7 tahun yang lepas sudah tidak kelihatan pada hari ini. Wajah-wajah yang ada di majlis hari ini semuanya wajah baru yang tak pernah muncul pada masa lalu.

Saudara saudari,

Di dunia ini semuanya sementara.Dalam perjalanan masa di dunia saja, kita tidak kekal dalam keadaan tertentu, tetapi mengalami perubahan dan berpindah dari lama kepada baru.Hari ini aku fikirkan aku akan pulang ke Malaysia Sabtu ini, tapi itu hanyalah rancangan aku sebagai manusia. Hakikatnya Allah sudah merancang rancangan yang lebih baik sesuai dengan iman yang ada di dalam hati aku.Tidak mustahil mungkin saja sebelum tiba hari Sabtu, aku akan kembali pada Allah, yakni menemui ajal.

Begitu juga buat kouhai atau senpai, hari ini kita merancang sekian-sekian rancangan dan impian mahupun jadual hidup, namun tidak mustahil semua yang kita rancang tidak terjadi, impian tidak tercapai, jadual tidak menepati dengan apa yang ditentukan oleh Allah s.w.t.

Sesungguhnya Allah menguasai segala sesuatu. Sesiapa yang selalu berdamping mendekatiNya, inshaAllah, Allah akan menentukan kesudahan yang baik malah bahagia. Sesiapa yang jauh daripadaNya, malah berbuat sesuatu yang dimurkainya, maka kesudahan buruk tempat kembali dan azab Allah itu amatlah pedih.

Alhamdulillah, hari ini kita yang ada di dalam majlis ini adalah pemuda pemudi Islam yang mengenali Allah, Rasul dan ad-deen kita, agama sempurna Islam. Marilah kembali kepada Allah, letakkan niat meraih redhaNya dalam kehidupan kita di dunia, berusahalah sungguh-sungguh jadikan kehidupan di dunia ini bekal untuk ke akhirat dengan bekal iman dan amal yang banyak, masuklah dalam Islam ini keseluruhannya, jadikan ad-deen ini cara hidup kita, perjuangan kita, cita-cita kita dan kecintaan kita.

Pemuda Pemudi generasi baru Islam,

Tempat yang adik-adik berada sekarang adalah masjid buat kita di komuniti pelajar Islam Universiti Toyama. Kita panggil masjid ini Gofuku Mosalla. Sebahagian kita panggilnya surau. Tapi ketahuilah walau apapun panggilan dan anggapan orang, apa yang telah diusahakan di mosalla ini adalah usaha mendirikan masjid, usaha menjadikan tempat ini sebuah masjid.

Kalau di Malaysia, apabila disebut mendirikan masjid, orang akan fikir apa dulu? Ya, orang fikir nak bernikah atau nak kahwin.Yalah, kita di Malaysia pembinaan masjid kebanyakannya dibuat oleh kerajaan, maka jika orang awam nak mendirikan masjid, orang rujuk pada pernikahan. Tapi apabila kita diberitakan ada pembinaan masjid ingin diusahakan, kita selalu membayangkan bangunannya dengan kubah yang besar atau menara yang tinggi. Jika pondok-pondok kecil, atau suatu ruang kecil dalam suatu bangunan saja, kita tidak memanggil masjid tetapi memanggil surau.

Hakikatnya, masjid dibina dengan taqwa. Biar tiangnya hanya batang pokok, lantainya hanya tanah berdebu, dan atapnya hanya dari pelepah, semua itu tak menjadi masalah sebagaimana masjid-masjid awal dalam Islam seperti masjid Quba.Masjid dibina dengan taqwa. Apa itu taqwa? Taqwa adalah mengamalkan agama dengan sempurna, mengikut segala perintah Allah, meninggal segala laranganNya dengan cara mengikut sunnah Nabi s.a.w.

Gofuku Mosalla dibina dengan taqwa.Di sini kita mengalunkan azan setiap waktu,kita solat lima waktu sehari semalam berjemaah di sini, solat jumaat diadakan setiap minggu, setiap hari kita membaca hadis dalam majlis, kita bermesyuarat segala urusan untuk istiqamah dalam usaha setiap hari di sini, kita bergerak dari sini menziarahi dan belajar berdakwah setiap hari ke rumah-rumah saudara, setiap minggu juga kita bertadarus, kita adakan program 'refresh iman' setiap minggu dengan dimulakan mengingatkan akan kewajipan dakwah buat umat akhir zaman,kemudian menziarahi rumah sauadara-saudara, kemudian bayan dan diakhiri dengan memberi azam dan niat untuk membangkit rasa mahu berjuang untuk agama Allah.Ya, kita bukan sekadar program ceramah memberitahu (bayan=penerangan), tetapi membangkitkan mahu (seru menyatakan azam dan niat=tasykil).

Kita juga setiap bulan cuba peruntukkan 2 hari atau 3 hari beriktikaf di masjid lain di Jepun sambil belajar semula sunnah Nabi yang dilupakan dan belajar berdakwah.Begitu juga kita cuba ke beberapa masjid lain di Jepun untuk mengutip derma bagi Projek Masjid kita untuk membeli tanah atau bangunan bagi lebih mudah beristiqamah dalam usaha masjid.

Jika di Malaysia, cukup dengan kubah dan menara indah semua orang akan puas hati masjid telah didirikan. Jemaah berkurangan setiap kali solat, aktiviti dakwah perlahan, atau sepi dan berkunci dari diisi amalan imarah masjid 24 jam pun tak apa, asal kubah dan menara tetap megah menjulang. Di sini, kita tidak cukup malah tidak memikirkan persoalan kubah atau menara tetapi sibuk untuk mengisi mosalla ini dengan segala amal dan dakwah sepertimana Nabi menjadikan masjid markaz dakwah islam dan pusat segala urusan umat. Yang lebih penting pintu mosalla terbuka 24 jam untuk diisi dengan amal ibadat, cuma buat masa ini pintu Halal Shop itulah dikunci dan dibuka sekejap sekejap.

Pejuang-pejuang pelapis umat,

Orang pertikaikan mengapalah kita yang masih muda, sibuk pula dengan pengajian di universiti di Jepun ini, kebanyakannya pelajar jurusan kejuruteraan; sibuk berusaha bagai nak mati memperjuangkan agama Allah, mendirikan masjid dengan taqwa dan amal ibadat, berdakwah dan memperbaiki iman, menyemai rasa cinta pada Allah, Rasul dan ad-deen Islam; untuk apa? Padahal terbangnya kita ke sini atas perjanjian dengan kerajaan Malaysia untuk bawa ilmu kejuruteraan semata-mata buat berjasa pada negara, kata mereka.

Hakikatnya kita adalah generasi muda yang mahukan hakikat kebenaran dan hakikat kehidupan yang berlandas pada tujuan sebenar penciptaan manusia. Benar, kita ada perjanjian dengan kerajaan Malaysia untuk menghabiskan pengajian dan insha Allah akan menjadi jurutera yang boleh berjasa buat negara. Namun, apakah tujuan berjasa buat negara? apakah pula tujuan menjadi jurutera? Semua itu akan menjadi sia-sia jika kita tidak melakukannya kerana Allah.Malah itulah perjanjian yang lebih awal antara kita dengan Allah sebelum lahir di dunia lagi. Hanya sesuatu yang dibuat atas niat kerana Allah sahaja akan dikira sebagai ibadah, dan bukankah Allah menjadikan kita ini semata-mata untuk beribadah padaNya?

Pulang sebagai jurutera tanpa ada jatidiri muslim maka kita akan menjadi jurutera kayu yang tak bawa erti pada kemajuan umat, tetap saja umat Islam akan terus ditindas, malah negara yang kononnya milik orang Islam juga terpaksa menghulur leher pada kuffar. Kita akan menjadi alat-alat musuh yang memperkotak-katik malah tak membawa apa-apa harapan buat negara dan bangsa. Apa beza seorang penagih dadah yang tak mampu hidup tanpa dadah, dengan seorang jurutera yang tak mampu hidup tanpa mengharap pada kuffar. Untuk berdiri atas kaki sendiri, malah dapat bawa perubahan dan kemajuan pada umat, melindungi dan membenteng umat dari musuh, hanya dengan adanya jatidiri muslim.

Jatidiri itulah yang kita perkuatkan semasa mengutip ilmu di Jepun ini. Jatidiri itu tidak lain tidak bukan adalah iman dan amal sebagai muslim.Jatidiri itulah yang kita isi dengan usaha masjid yang kita panggil Gofuku Mosalla ini.Kita mahu jadi pemuda pemudi muslim yang berisi semangat dan cinta pada Islam. Kita bukan sekadar retorik dengan slogan, tapi 2 tahun telah kita bangunkan aktiviti, merubah suasana, membentuk sikap dan jiwa di sini. Apa makna 'Islam' pada diri seorang muslim jika kosong iman dan amal?

Hanya pemimpin dan masyarakat bangang saja yang suka anak-anak muda menjadi pasif, tak ada jatidiri, tak ada idea baru, tak ada rasa sayang pada agama, kosong idealisme dan sibuk menyanyi dan menari di kaca tv. Tetapi pemimpin dan masyarakat yang bijak dan bertamadun, mereka sangat suka dengan anak-anak muda yang aktif, punya jatidiri, penuh dengan idea bernas untuk melakukan perubahan dan pembaikan buat tamadun manusia, sayang pada agama malah memperjuangkannya dalam seluruh hidup mereka. Kita adalah anak-anak muda yang punya semangat untuk lahir seperti itu. Sepatutnya setiap pemimpin dan ahli masyarakat menyokong malah mendoakan kejayaan perjuangan kita di sini.Itulah golongan bakal jurutera yang berjasa buat negara yang lebih bererti untuk Malaysia.

Adik-adik yang aku kasihi,

Para ulama kita muliakan, yang tua kita hormati, yang muda kita kasihi.

Kita adalah mukmin yang bersaudara. Laksana satu jasad yang terasa sakit satu anggota, seluruh badan tertanggung derita.Laksana satu bangunan yang menguatkan antara satu sama lain, pecah satu bahagian runtuh seluruhnya.

Ada yang mencadangkan, jangan dipanggil orang-orang baru datang ini 'kouhai'(junior), tapi semua adalah 'member' (kawan). Bagi aku, cadangan-cadangan seperti ini timbul kerana rasa tidak selesa kita atas tradisi 'senioriti' yang mungkin diasuh sejak sistem sekolah di Malaysia dan diteruskan oleh para senpai dahulukala. Aku mengucapkan syabas buat yang berani mencadangkan sesuatu untuk meruntuhkan tradisi yang tak membantu kepada nilai-nilai hidup sebenar seorang muslim.

Kita tak perlukan konsep 'senioriti' yang membalas 'buli' buat junior atas kerana dahulu sewaktu mereka junior pernah di'kena'kan oleh senior.Atau konsep senioriti yang taat ketika junior, naik kepala ketika senior.Kita adalah pejuang-pejuang muda Islam yang menjadi 'member of muslim society' di sini. Bukan sahaja kita mahu pecahkan tembok senioriti supaya senpai-kouhai rasa bersama, kita mahu pecahkan juga tembok 'nationality' supaya semua muslim yang mengimarah mosalla kita di kalangan orang mesir, bangladesh, pakistan atau lain-lain negara pun adalah ahli bersama dalam komuniti kita. Kita mahu wujudkan semangat 1ummah yang lebih menguatkan seluruh umat Islam di masa hadapan.

Alhamdulillah, ramai senpaitachi yang ada di sini, kalau hari pertama kita di Toyama, kita sudah disuruh memasak untuk senpaitachi.Tapi mulai tahun ini, kouhai dijamu dengan masakan oleh senpai sebagai sambutan meraikan kehadiran mereka. Ini mahabbah. Rasa sayang kita buat orang muda.Insha Allah dengan harapan kouhai yang muda dapat membalas dengan tonjolkan rasa hormat buat senpai yang tua. Inilah ukhuwwah Islam yang harmoni yang lebih indah daripada konsep senioriti. Alhamdulillah, kita berani berubah dan melakukan pembaikan. Kita bukan generasi yang hanya mengikut tradisi walaupun tradisi itu merosakkan masih mahu dipertahankan.

Mungkin ada banyak lagi tradisi yang tidak wajar kita teruskan, berani-beranikanlah diri untuk berubah dan melakukan perubahan.Biar setiap hari adalah hijrah buat kita ke arah yang lebih baik.

Selepas ini, banyak urusan kouhai memerlukan bantuan para senpai. Semaikanlah rasa menghargai kerana dibantu, dan semaikanlah rasa syukur dan semangat berkorban untuk membantu.Insha Allah aku ada banyak nak bicara lagi dengan kouhai, tapi rasanya ucapan ini sudah terlalu panjang, nanti sejuk pula makanan yang sudah disediakan.Selepas ini kouhaitachi akan bermalam beberapa hari di mosalla sebelum dapat ditempatkan di apato, kita ada banyak lagi ruang-ruang untuk bersama dan berkongsi idea dan diskusi.

Akhir kata, sama-samalah kita tanam azam dan niat untuk terus berjuang dan mengajak yang lain berjuang bersama. Renung-renungkanlah, selamat beramal.

Wassalam.

*kononnya ini adalah ucapan yang aku nak bentangkan malam ini sempena meraikan kouhai, tapi hakikatnya aku rasa ucapan ini akan makan banyak masa, jadi aku simpan dululah hingga ada peluang yang mengizinkan.

*kouhai=junior
senpai=senior
kouhaitachi=para junior
senpaitachi=para senior
apato=apartment kecil yang disewakan


Saya sering mendambakan ada tokoh-tokoh yang boleh diharapkan untuk bawa apa yang saya panggil sebagai Renassaince Hikmah.Saya menggariskan beberapa bidang, umumnya bidang politik, ekonomi, pendidikan, sosial, bahasa dan sastera serta hiburan sebagai bidang-bidang kritikal yang perlu digerakkan ke arah revolusi dan reformasi bentuk baru ke arah matlamat meninggikan Islam setinggi-tinggi yang boleh.

YB Zulkifli Noordin, bukanlah tokoh yang digemari saya kerana saya meletakkan beliau sebagai pemuja Anwar Ibrahim sejak zaman Reformasi 1998, iaitu ketika saya masih di Tingkatan Satu, zaman saya memerhati dan meneliti politik negara.'Pemuja' yang saya maksudkan adalah kesanggupan beliau melakukan apa saja pengorbanan demi melindungi dan mempertahankan Anwar Ibrahim.Hal ini diakui sendiri oleh Zulkifli Noordin bahawa beliau adalah orang yang banyak melakukan pengorbanan untuk diri Anwar Ibrahim dan keluarga secara peribadi dan perjuangan Reformasi setelah Anwar dipecat dari UMNO.[klik]

Namun semua itu tak menghairankan bagi sebahagian besar pengikut parti PKR ini yang berasal dari Reformasi 1998. Hampir kesemua mereka itu boleh dikatakan mengagungkan sosok bernama Anwar Ibrahim ini, dan bukanlah ada prinsip bersama yang padu sebagai idealisme yang disepakati. Saya kira ramai boleh bersetuju dengan hakikat itu, apabila pilihanraya umum 1999 yang memperlihatkan Parti Keadilan Nasional bertanding buat pertama kalinya tidak boleh lari dari dilihat orang sebagai parti para peminat dan pemuja Anwar Ibrahim (Anwar Fan Club) yang berjuang untuk membebaskan Anwar dan mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri semata-mata.

Kecelaruan inilah yang nampak jelas apabila pemuja dan peminat Anwar ini punya harapan berbeza-beza terhadap diri Anwar, atas kerana Anwar sendiri menjalankan propaganda berbeza apabila berhadapan dengan golongan pemuja yang berbeza. Bagi para islamis mengharapkan janji Anwar yang dilihat sebagai pejuang Islamisasi yang pernah popular dengan slogan "masyarakat madani"nya.Bagi para sosialis mengharapkan janji Anwar yang dilihat sebagai pejuang marhaen dan masyarakat bawah serta miskin yang Anwar pernah popular semasa zaman mahasiswanya.Bagi para liberalis pula, keakraban Anwar kepada wacana-wacana liberalis dari Amerika dan Indonesia mengharapkan Anwar meneruskan usaha mengangkat perjuangan demokrasi liberal itu. Malah tak kurang juga peminat dari para pro-melayu atau bekas-bekas umno yang pernah memandang Anwar sebagai pembela kuat orang Melayu sejak 1969 yang pernah bekerjasama dengan Mahathir menentang Tunku Abdul Rahman.

Ironinya, semua itu diletakkan oleh para penjunjung idealisme yang variasi dengan harapan yang berbeza tadi ke atas sosok Anwar untuk dijayakan apabila beliau memacu ke Putrajaya selepas dibebaskan pada tahun 2004.Namun Anwar tidak boleh menjayakan semua idealisme. Perlahan-lahan apabila penggabungan dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dengan Parti Keadilan Nasional berlangsung, dan membentuk PKR, Anwar mesti memilih jalan idealisme tunggal buat jalan partinya.Maka Demokrasi Liberal dipilih.

Salah satu idealisme yang nampak tidak menguntungkan konsep majmuk bangsa dan agama dalam PKR, adalah idealisme Islam. Pemecatan Zulkifli Noordin dari PKR kerana mengangkat isu Islam hanya membuktikan Demokrasi Liberal dan Islam memang tidak boleh bertemu matlamat dan perjuangannya. Ini diakui sendiri oleh Zulkifli Noordin sejurus selepas diumumkan pemecatannya,

Keputusan ini juga membuktikan dengan jelas kepada saya bahawa agenda perjuangan Islam tidak diterima oleh PKR. Malahan terbukti kepada saya deklarasi Dasar PR pada 19.12.2009 yang kononnya mendaulatkan Islam dan menghormati kedudukan umat dan institusi Islam didalam Perlembagaan Persekutuan adalah sekadar mainan politik picisan dan retorik murahan untuk mengelabukan mata umat Islam, dan suatu pembohongan jelas kepada rakyat.[sumber]

Jika mengikut teori asal pakatan 3 parti utama pembangkang PKR-DAP-PAS, memang meletakkan resepi bahawa para islamis tempatnya adalah di dalam PAS bukan PKR. Jika dinilai secara kasar segala mesej perjuangan Zulkifli Noordin, beliau lebih mirip kepada suara-suara PAS yang suatu masa dulu lantang dalam isu-isu Islam semasa Anwar ada di dalam UMNO. Namun, jika situasi ini nak dibetulkan, meletakkan Zulkifli Noordin dalam PAS adalah jalan penyelesaian untuk pakatan tidak hilang satu lagi kerusi parlimen dan masih meletakkan tokoh politik yang bersih seperti Zulkifli Noordin dalam kem Pakatan Rakyat.

Namun, persoalannya adakah PAS benar-benar boleh menjadi platform para Islamis bersuara selantang Zulkifli Noordin? Saya sudah mengulas perihal PAS bukan lagi parti islam harapan umat dalam entri bertajuk "PERLU ADA PARTI ISLAM YANG BENAR-BENAR ISLAM".Ada para islamis berpendapat apa yang PAS cuba lakukan adalah mengumpul kekuatan untuk menjatuhkan UMNO dan BN terlebih dahulu yang tidak mampu dilakukan bersendirian, sebelum akhirnya akan menjinakkan PKR dan DAP untuk menerima konsep negara Islam yang diperjuangkan. Benar, Anwar tidak pernah menentang semangat perjuangan Islam PAS, dalam masa yang sama adakah Anwar tidak menentang semangat itu diperjuangkan untuk diangkat tinggi dan utama dalam Pakatan Rakyat?Pemecatan Zulkifli Noordin adalah jawapan kepada persoalan itu untuk para islamis yang menafikan entri saya tersebut.

Malah ketika ada suara untuk menjemput semula Zulkifli Noordin menyertai PAS kedengaran, pimpinan kanan PAS seperti Mahfuz Omar menjawab,

"Pas ada etika dalam perhubungan kerjasama persefahaman rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. Apa jua keputusan disiplin yang dibuat oleh parti-parti rakan kita, kita tetap menghormati keputusan tersebut.

"Tidak wajar kita terima, tiada pertimbangan langsung... saya tidak melihat apa-apa yang boleh membantu meninggikan imej Pas dengan kehadiran Zulkifli ke dalam Pas... ini akan memberi keburukan dan mencalarkan nama baik parti,”[sumber]
Jika dulu para islamis menganggap PAS akan menjinakkan prinsip dan idealisme PKR kepada memperjuangkan Islam, namun kini jelas, keputusan PKR yang tak bersetuju dengan perjuangan Islam Zulkifli Noordin yang bertentangan dengan demokrasi liberal parti, menjinakkan pula prinsip dan idealisme PAS sehingga PAS berpegang pada etika menghormati pula pertentangan yang menolak martabat perjuangan Islam itu.

Malah kecaman demi kecaman yang diterima Zulkifli Noordin dari pimpinan PAS dengan gelaran "pengacau parti" memperlihatkan bahawa konsep politik kepartian Islam sudah jatuh martabat demi martabat, dari meletakkan kepentingan Islam dan Dakwah yang paling tinggi setingginya , menjadikan martabat dan imej parti, rakan sepakatan,serta etika kerjasama politik yang tertinggi hingga isu martabat islam yang dibawa oleh Zulkifli Noordin tak difikir secara serius pun.Kalau dulu kita biasa dengar bahawa PAS itu ditubuh hanya sebagai alat atau wadah sahaja namun matlamatnya adalah meninggikan Islam. Sekarang ini, kita masih tak percayakah Islam itu dijadikan alat atau wadah sahaja untuk meninggikan Parti?

Saya meletakkan Zulkifli Noordin sebagai contoh politikus muslim yang menonjolkan terang-terang prinsip yang selama ini hanya didendang-dendangkan saja oleh para Islamis dalam PAS tapi kecut nak ditonjol dengan terang dan tegas.Parti Hanya Wadah. Saya nampak PAS gagal membuktikan seruan itu. Jika benar Parti Hanya Wadah ada dalam hati pimpinan PAS seperti Mahfuz Omar, apa takut untuk imej parti tercalar menerima seorang ahli politik yang sayangkan agama dan mahu agamanya dibela itu? Mana satu mahu dipilih, Imej Parti Tercalar atau Imej Islam Tercalar? Imej Islam sudah tercalar banyak calarnya dengan hanya membiarkan Zulkifli Noordin sahaja bersuara.Malah dikecam pula dirinya.

Mari kita lihat apa yang Zulkifli Noordin sudah lama suarakan di parlimen secara terang-terangan membuktikan beliau tidak takut imej partinya tercalar demi untuk mempertahankan Islam di bumi Malaysia sejak November 2008 lagi,

"Dan kita sebagai rakyat malaysia tidak boleh nafikan bahwa dalam negara ini Islamlah yang menjadi tonggak kepada kestabilan dan kerharmonian tersebut.

Pertamanya, orang Melayu perlu faham bahawa kekuatan dia, kemuliaan dia, kehebatan dia letak pada Islam.

Dan ini merupakan tonggak kepada keharmonian, kestabilan politik dan keharmonian rakyat negara ini, seperti yang disebut oleh titah Raja-raja Melayu pada Syawal lepas.

Tetapi hari ini, tonggak ini yang menjadi sasaran diserang oleh pelbagai pihak.

Kiri, kanan, atas, bawah, depan, belakang.

Sama ada di kalangan pemerintah ataupun di kalangan 'sebelah' sini.

Menyerang Islam seolah-olah Islam tak wujud langsung.

Mereka mempertikaikan azan, syiar agama Islam. Mereka mempertikaikan tulisan jawi, hantar memorandum supaya tulisan jawi tak dilaksanakan lagi dalam negara ini.Mereka menuntut contohnya,soal ketuanan melayu -ketuanan Islam dipertikaikan. Di kalangan NGO-NGO,Majlis Peguam yang tanpa segan silu biadab mempertikaikan agama Islam, mencabar orang Islam, contohnya menghantar wakil dalam kes Azlina Jailani melawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, yang menuntut hak supaya dia dibenarkan murtad mengikut artikel 11.
Majlis Peguam hantar peguam.Bukan sahaja sebagai pemerhati tetapi terlibat secara langsung dalam kes tersebut.Tanpa mengambilkira bahawa 40% lebih daripada ahli majlis peguam adalah orang yang beragama Islam.Tetapi mereka mengambil sikap bahawa Azlina Jailani perlu dibenarkan murtad mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Sampai ke peringkat dalam negara ini,ada kumpulan yang sudah berani cabar perkataan Allah itu sendiri.Mengheret kita ke mahkamah. Menuntut supaya dia juga boleh menggunakan perkataan Allah.Sehingga ke peringkat ada kumpulan yang tak menghormati perayaan agama Islam. Mencemar perayaan-perayaan agama Islam dengan tuntutan-tuntutan yang tak ada kena mengena dengan agama Islam. Perayaan Aidilfitri baru ini dicemar.

Saya diberitahu tadi bahawa ucapan saya ini tak bunyi macam yang sepatutnya.Saya berucap ini seolah-olah menyokong orang lain.Saya nak beritahu dan saya dah sebut banyak kali bahawa bagi saya yang penting agama saya, Islam.Saya tak peduli pada pandangan orang lain.Saya tak peduli bahawa saya mesti , orang kata through the line (ikut arus). Sebab saya nanti akan jawab di hadapan Allah. Saya perlu bertanggungjawab kepada Tuhan saya.Sebab itu saya pernah buat kenyataan, pada saya Islam itu dulu. I am Muslim first.Saya berani kata, saya bukan muslim yang terbaik, tapi saya akan beri yang terbaik untuk Islam. Kalau saya perlu perkatakan tentang Islam dalam dewan ini, saya akan perkatakan walaupun ianya tak senang didengari oleh pihak-pihak tertentu." [rujuk]
Saya mengharapkan Zulkifli Noordin terus berpegang dengan apa yang disebutnya terutamanya ayat terakhir dalam petikan di atas. Saya tidak menolak akan bekerjasama dengan Zulkifli Noordin kerana idealismenya adalah apa yang saya pegang selama ini, (yang sepatutnya menjadi idealisme semua muslim) iaitu meletakkan Islam sebagai yang pertama, utama dan selama-lama sebagai jalan perjuangan kita.Bukannya sayangkan imej parti dan rakan sekutu lebih dari Islam.

Insha Allah, pulang nanti saya akan segera bertemu Zulkifli Noordin untuk bincang pelan tindakan politik saya yang sudah lama berhabuk menanti masa begitu lama, menunggu muncul ahli politik muslim yang boleh diharapkan, setelah suara PAS tunduk pada Anwar Ibrahim yang tak mahu negara Islam.