|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Abbas Kiarostami bersama krew nya dalam Taste of Cherry

FALSAFAH

Mengkaji filem Jepun dan Iran adalah baik untuk mendapat idea lakonan islami. Khususnya filem-filem yang mementingkan falsafah dan mesej yang disampaikan tanpa menggunakan banyak babak aksi atau dialog yang panjang lebar atau terjerit pekik. Kita lebih menghargai mesej dengan mendalami isi kandungan emosi, plot dan dialog yang optima (cukup sekadarnya). Setakat ini, saya fikirkan ini sahajalah aliran paling 'kacang goreng' untuk menafikan sekalian keperluan pembukaan aurat, dan aksi sentuhan bukan mahram juga plot atau tema cerita mengarut tahyul, kebaratan, dan hampas yang semakin membimbangkan di kalangan pengusaha drama dan filem muslim di Malaysia.

Mereka menafsirkan Filem Taste of Cherry oleh Abbas Kiarostami ini sebagai filem minimalisme iaitu satu aliran seni dan rekabentuk yang mengurangkan elemen-elemen asas untuk mempersembahkan suatu idea eksperimental. Kita abaikan konsep segala macam yang kita faham bukanlah suatu pengitlakan atau kesimpulan tepat mengenai genre filem Kiarostami ini. Mereka malah menafsirkan filem ini sebagai separuh fiksi separuh dokumentari. Saya fikir Kiarostami berjaya mengangkat suatu idea tersendiri (originality) dalam mempersembahkan suatu cerita disamping menyampaikan banyak mesej. Kita boleh memahami filem cereka ini bermatlamatkan mesej dan bukannya ceritanya.

KISAHNYA

Kisahnya begini, seorang lelaki bernama Badii memandu kereta berpusing-pusing di sekitar Kota Tehran untuk mencari orang yang sanggup menolongnya.Beliau cuba mengajak orang duduk berbincang dengannya di dalam keretanya, untuk menerangkan apakah pertolongan itu. Badii bertemu dengan seorang askar muda yang berjalan kaki.Askar muda itu sudi untuk naik dalam keretanya kerana Badii mahu menumpangkan dan menghantarnya ke berek askar.

Setelah itu, baru penonton di bawa sedikit demi sedikit ke arah misteri Badii ini. Badii akhirnya menjelaskan pada askar muda itu setelah sampai di sebuah lereng bukit yang gersang, bahawa di situ ada lubang kubur yang dia sudah gali untuk menanam dirinya. Dia berhasrat untuk bunuh diri dengan menelan pil tidur dan akan berbaring di liang lahad itu pada malamnya nanti. Apa yang dia perlukan adalah askar muda itu datang semula esok pagi, memanggil namanya 2 kali, dan jika dia tidak bangun dari lubang itu (sudah mati), maka dia minta askar muda itu menimbuskan kuburnya. Dia tawarkan wang tunai yang lumayan buat askar itu.

Askar muda itu enggan menolong usaha "bunuh diri" Badii itu walaupun apa yang Badii minta bukan membunuh dirinya, tetapi hanya tolong menimbuskan kuburnya sahaja setelah dia mati. Askar muda itu berlari lintang pukang meninggalkan Badii terpinga-pinga.

Kemudian, penonton akan ternanti-nanti siapa pula orang yang akan dijumpai Badii dan apakah orang itu akan menolong Badii. Jika mahu menolong apakah alasannya, jika tak mahu menolong apa pula alasannya.

Filem ini sepertimana jua filem Iran lain, memulakan filem dengan kalimah basmallah, maka kita tahu pengarah tidak harus mempromosi pemikiran yang bertentangan dengan Islam. Kita jua tahu, perbuatan "membunuh diri" adalah suatu perbuatan mungkar yang dilarang dalam Islam, baik ahlus sunnah mahupun syiah ia adalah dilarang.Filem ini tak wajar mempromosinya apatah lagi memberikan alasan untuk membenarkan ia dilakukan.

Benar, Kiarostami bukan mempromosi usaha Badii untuk membunuh diri. Apatah lagi perbuatan bunuh diri Badii tersirat banyak persoalan, apakah penting benar dia memastikan kuburnya tertimbus setelah mati, dan apa pula penting benar untuk dia bunuh diri dengan berbaring di dalam kubur. Nescaya kita faham, motif bunuh diri Badii merupakan suatu metafora pada "sesuatu". Di sini kita faham, filem ini bukan ceritanya yang penting, tapi perjalanan cerita ini untuk mengutip mesej-mesej dari wataknya adalah penting.

Orang kedua yang ditemui Badii adalah seorang ustaz muda yang masih belajar, atau di kalangan syiah, kita bolehlah panggilnya mullah muda. Kali ini, tak seperti askar muda yang hanya mengatakan enggan tanpa hujah, mullah muda ini juga enggan membantu Badii namun dia tidak menyebut sepatah pun yang dia enggan. Mullah muda itu cuba mencungkil hujah Badii setelah Badii menerangkan dia mahu membunuh diri, lalu mullah muda itu sampaikan pada Badii akan hadis , ayat Quran dan pandangan Imam Syiah tentang larangan membunuh diri. Kali ini juga, mullah muda itu tak seperti askar muda di awal cerita, dia tidak lintang pukang lari pada akhir pertemuan mereka, malah dia menjemput Badii menjamah makanan bersama dia dan rakannya, tapi Badii menolak.

MOTIF

Akhirnya di bawa pada motif utama filem ini yang bertajuk "Taste of Cherry" pada kisah "ceri" sebenar. Badii bertemu akhirnya dengan orang yang setuju menolong menimbus kuburnya. Tidak seperti dua orang yang awal adalah orang muda, kali ini Badii bertemu Bagheri, seorang tua yang punya anak yang sakit.Bagheri menggunakan pengalamannya sendiri untuk mengembalikan Badii pada jalan sebenar iaitu membatalkan usahanya untuk membunuh diri.
Walaupun dia bersetuju dengan tawaran Badii sejumlah wang tunai yang banyak akan diberi setelah selesai menimbus kuburnya, namun Bagheri menggunakan kesempatan yang ada untuk hasrat Badii berubah.Benar, sebenarnya Badii sendiri masih 50-50 dalam usahanya membunuh diri.Beliau mensyaratkan orang yang akan menimbus kuburnya nanti mestilah memanggil namanya 2 kali dahulu, supaya jika dia masih hidup, kuburnya tak perlu ditimbus.

Bagheri berkongsi cerita tentang pengalamannya sendiri mahu membunuh diri suatu masa dahulu. Beliau cuba menggantung diri di sebuah pohon ceri. Namun selalu sahaja ikatannya terlucut. Jadi beliau telah cuba memanjat pohon ceri itu untuk mengikat tali dengan lebih kuat dari atas. Semasa mahu mengikat tali gantungannya, beliau ternampak buah ceri lalu cuba memakannya. Satu demi satu buah ceri dimakannya sehingga matahari pun timbul menandakan hari sudah siang. Anak-anak kecil yang mahu ke sekolah datang ke bawah pohon ceri itu ternampak Bagheri.Mereka meminta Bagheri menggoncangkan dahan pohon itu supaya buah-buah ceri itu gugur. Bagheri lalu menggoncang pohon itu, dan buah-buah ceri pun jatuh lalu dimakan oleh anak-anak sekolah itu. Bagheri akhirnya turun dari pohon itu sambil bawa pulang buah ceri ke rumahnya. Di rumah, isteri dan anak-anaknya pun makan buah ceri itu dan semuanya menjadi gembira.

Taste of Cherry atau Rasa Buah Ceri itu sebenarnya adalah kisah Bagheri yang membatalkan niatnya mahu membunuh diri hanya kerana telah merasai manisnya buah ceri. Bagi Bagheri, setiap orang pasti menghadapi masalah, setiap yang bermasalah pasti berasa sedih, tapi kesedihan tak boleh ditamatkan dengan membunuh diri. Rasa Buah Ceri adalah nasihat Bagheri untuk Badii terus bersemangat dan hadapi kesedihan hidupnya dengan positif. Banyak lagi nasihat Bagheri pada Badii, dia malah bercerita pada Bagheri kisah jenaka seorang pesakit dan doktor, dan menyanyikan lagu Turkish pada Badii. Kita nampak orang tua ini berusaha dengan segala daya untuk biar Badii mengubah fikiran.

Badii masih berdegil, dia mahu memastikan orang tua itu benar-benar akan menimbuskan kuburnya. Sambil Bagheri memberikan jaminan beliau akan datang untuk menimbus kubur Badii, Bagheri juga masih terus optimis dan positif bahawa Badii tak akan berjaya membunuh dirinya, Badii pasti masih hidup ketika dia datang esok pagi, kata Bagheri. Pertemuan mereka berakhir di situ setelah Badii sampai ke depan pintu pagar tempat kerja bagheri sebuah Muzium Kebangsaan Iran.

Badii kemudiannya sambung memandu kereta, tapi jelas kepalanya berat dengan nasihat Bagheri padanya. Di satu simpang beliau berpusing kembali keretanya, dan berlari masuk ke pintu pagar tempat kerja Bagheri. Sesudah berurusan di kaunter tiket, Badii masuk ke kawasan Muzium itu dan sampai di tempat Bagheri sedang bekerja. Beliau lalu bertemu Bagheri dan ingin menambah perkara yang perlu dilakukan Bagheri, bukan sekadar memanggil namanya 2 kali sebelum menimbus kuburnya, Badii meminta juga Bagheri membalingnya 2 ketul batu, takut-takut dia belum mati tapi hanya lena tidur dan tak dengar panggilan Bagheri. Bagheri menjawab, beliau akan membalingnya batu, bukan dua ketul tapi tiga! Bermaksud Bagheri benar-benar mahu Badii masih hidup esoknya.

KREATIVITI

Kisah ini ditutup dengan Badii akhirnya berbaring dalam kuburnya sambil merenung bulan mengambang di langit. Penonton tidak mengetahui apakah benar Badii menelan pil tidur seperti yang dia rancangkan, ataupun adakah dia menelannya tapi pil tidur itu tidak sebanyak mana sehingga boleh membunuh Badii? Persoalan itu disudahkan dengan skrin digelapkan dan sedutan-sedutan aksi filem itu diproduksikan oleh Kiarostami, mengambil tempat. Saya fikir ini satu kreativiti Kiarostami yang menyudahkan persoalan ceritanya dengan menunjukkan aksi beliau bersama krewnya menjawab pada penonton bahawa ceritanya itu hanya sebuah filem sahaja, bukannya betul-betul! Bijak! Apatah lagi kelibat pelakon Homayon Ershadi yang berlakon sebagai Badii, tengah santai berjalan membuktikan dia tidak mati dan tidak bunuh diri.

Saya fikir filem ini bukan sekadar nasihat watak tua Bagheri supaya kita menghadapi hidup yang penuh kesukaran ini dengan positif dan jangan cuba menamatkan kesedihan kita dengan membunuh diri, tetapi ada juga seakan kritikan ke atas nasib hidup rakyat Iran yang pelbagai etnik itu menghadapi rencah hidup di Tehran. Di awal filem lagi memaparkan berpuluh lelaki Iran berpusu-pusu di kereta Badii bertanyakan jika Badii memerlukan khidmat buruh. Juga setelah itu ada juga ditunjukkan dialog Badii dengan pekerja pengutip sampah dari Lorestan yang menzahirkan keperitan hidup di Iran.Ada kritikan sosial berkenaan dengan masalah pekerjaan di Iran di tahun 1990-an itu. Malah watak askar muda itu ada juga terselit betapa gaji yang diterimanya tidak setimpal, dan masalah kewangan juga memaksa askar muda itu berhenti belajar untuk terus hidup.

Di samping itu, filem ini juga memaparkan serba sedikit sejarah imigran dari watak askar muda yang merupakan bangsa Kurdish, watak mullah muda berbangsa Afghani, dan watak Bagheri dari bangsa Turkish. Sifat penyayang sesama muslim juga ditonjolkan dengan jelas ketika Badii bertemu dengan watak-watak lain yang semuanya tidak mengenali dirinya, seperti ketika tayar kereta Badii tergelincir di lereng bukit, datang ramai pekerja buruh yang bekerja di lereng bukit itu berpusu-pusu mengerumuni kereta Badii dan membantu mengangkat tayar kereta itu kembali ke atas jalan. Begitu juga watak pengawal keselamatan berbangsa afghan yang kesepian cuba menyediakan air teh buat Badii.

LAKONAN ISLAMI

Walaupun hampir 99% filem ini dilakonkan oleh watak lelaki, ada satu babak sebelum Badii berpusing keretanya kembali ke tempat kerja Bagheri, watak seorang gadis meminta Badii menolongnya mengambil fotonya bersama pasangannya itu saya kira wajar dipotong kerana gadis itu tidak kemas hijabnya ternampak sedikit rambut di ubun-ubunnya. Begitu juga dengan babak perempuan yang berjalan di pintu pagar tempat kerja Bagheri, dan ketika seorang gadis ingin membeli tiket di kaunter juga kelihatan sedikit rambut di ubun-ubun mereka. Saya tak tahu apakah dalam Syiah anak rambut atau ubun-ubun mahupun jambul perempuan adalah suatu khilaf bagi aurat perempuan? Begitu juga pada saat babak akhir ketika ditunjukkan pelakon Homayon Ershadi berjalan santai sambil menghisap rokok juga wajar dipotong kerana rokok mutakhir ini sudah difatwakan haram.

Setelah saya memotong segala babak itu, durasi filem itu hanya berkurang 1 minit sahaja, malah babak itu tak penting pun untuk keseluruhan cerita yang baik dari Kiarostami ini. Sambil mengabaikan 1 minit yang dipotong itu, saya kira filem Kiarostami ini boleh menjadi contoh untuk pengusaha filem dan drama kita bahawa "realisme" tak memerlukan aksi mungkar untuk diterjemahkan dalam filem. Malah dengan pengabaian 1 minit itu juga, filem ini 100% dilakonkan secara islamik. Filem Taste of Cherry oleh Abbas Kiarostami ini memenangi anugerah Palme d'Or atau Golden Palm yang merupakan anugerah tertinggi di Festival Filem Cannes tahun 1997.

p/s:
Faisal Tehrani juga mengomentari filem ini di blog beliau.KLIK
Tonton juga review filem ini oleh A.O Scott yang sering mengkritik filem untuk The New York Times di SINI.
Donlod: KLIK

Saya tidak tahu apa yang Dr Asri maksudkan sebagai "turun padang" berdakwah ke pusat-pusat hiburan. Saya tidak tahu apakah bentuknya. Namun jika benar apa yang disebut Dr Asri dalam tulisannya menjawab pendapat Mufti Selangor,

"Saya berharap setiap individu muslim meneruskan usaha menyampaikan kebaikan Islam. Jangan takut dengan halangan isu tauliah, tetapi takutlah Allah jika kita gagal menyampaikan kesedaran, kebenaran, menyuruh kepada yang baik dan mencegah dari yang mungkar."


maka, saya amat MENYOKONG usaha dakwah "turun padang" tersebut!

Sebab apa, benar saya tak tahu apa bentuk dakwah yang Dr Asri akan jalankan dalam programnya turun padang ke pusat hiburan untuk berdakwah, namun atas kerana kalimah "mencegah dari yang mungkar" itu, maka saya tak teragak-agak Dr Asri pastinya tidak akan melakukan "mungkar" dalam menyampaikan dakwahnya.

Tentunya orang lain tak menimbang sepertimana saya timbang akan cadangan Dr Asri ini. Orang lain tak akan sibuk risau apakah Dr Asri akan menggunakan cara mungkar untuk berdakwah.Pastinya semua orang pun tak terlintas, bahawa kemungkinan pendakwah akan berbuat mungkar untuk berdakwah.Tapi, mahu atau tidak mahu, memang ada pendakwah hari ini yang mahu berdakwah telah mendiamkan sebahagian kemungkaran untuk menyampaikan mesej dakwahnya. Malah lebih teruk, menggunakan "kemungkaran" orang untuk menyampaikan dakwahnya.

Apatah lagi apabila golongan liberal menyendel-nyendel sokongan mereka pada Dr Asri, saya bimbang jika Dr Asri juga tenggelam macam sesetengah pendakwah yang terpaksa mengorbankan "mencegah dari yang mungkar" itu untuk mencapai tujuan "mengajak pada yang makruf" sahaja.

Benar, golongan liberal OK sahaja jika pendakwah mahu "mengajak pada yang makruf", mereka sokong dan mereka bantu pula. Tapi jika ada pendakwah yang mahu "mencegah dari yang mungkar", minta maaf, golongan liberal tak boleh bantu malah mereka akan menentang usaha itu dengan 1001 alasan.

Apa alasan mereka jika kita mahu mencegah dari yang mungkar, antaranya mereka akan kata perbuatan kita itu akan mencemarkan islam, kerana islam tidak boleh memaksa orang meninggalkan mungkar(tidak ada paksaan dalam islam) dan islam juga tidak kasar, maka perbuatan mencegah dari yang mungkar akan membuatkan orang takut pada islam (islamphobia).

Baik, mengapa timbul persoalan "memaksa", "kasar" dan "menakutkan" itu?

1. "Mencegah dari yang mungkar" tidak boleh lari dari mengatakan perbuatan mungkar itu WAJIB ditinggalkan, maka mereka mendakwa "WAJIB" itu adalah MEMAKSA mereka untuk meninggalkan kemungkaran. Atas kerana "WAJIB" tidak memberikan anda pilihan lain, melainkan pilihan itu sahaja yang ada dan perlu diambil. Mereka mahukan kita "berlembut" sikit pada mereka, jangan mengatakan WAJIB meninggalkan mungkar, tetapi hanya mengajak mereka BAIKI supaya MENGURANGKAN kemungkaran sahaja, dan mereka juga berkehendak kita memuji kebaikan yang dapat dari kemungkaran yang mereka lakukan itu. Baru mereka akan iktiraf dakwah kita "tidak memaksa".

2. "Mencegah dari yang mungkar" juga tidak boleh lari dari mengatakan perbuatan mungkar itu adalah HARAM. Ini yang mereka katakan kasar. Pada mereka HARAM itu adalah sesuatu yang kasar, tapi mereka mahukan kita lihat "big picture"(gambaran besar) dari kemungkaran mereka itu. Mereka mahukan kita menilai "sebab-sebab" mereka melakukan kemungkaran itu, seterusnya mengiktiraf usaha kemungkaran mereka itu adalah kerana "terpaksa", "darurat", "tak boleh dielakkan", "realiti yang perlu diterima pada zaman ini".

Kemudiannya mereka mahukan kita MENYALAHKAN perbuatan mungkar itu pada pihak lain, supaya kelihatan bukanlah kerana mereka "sengaja" mahu berbuat mungkar, tapi kerana ada pihak yang tak beri mereka peluang untuk buat yang halal. Kalau boleh, mereka harap-harap sangat golongan pendakwah "condemn" pendakwah lain yang punya pasal sehingga kemungkaran itu terjadi. Lebih lagi mereka suka jika kita "menghentam" golongan otoriti agama atau golongan ulama yang punya salah.Baru mereka akan anggap kita tidak berkasar pada mereka, sebab yang kena marah dan disalahkan buat benda HARAM bukan mereka, tapi pihak lain yang punya salah.

3."Mencegah dari yang mungkar" juga tidak boleh lari dari menyebut akan kemurkaan Allah pada kemungkaran itu, dosa yang akan ditimpa pada pelakunya, dan azab Allah yang pedih khususnya NERAKA yang menjulang-julang apinya.Inilah perkara yang mereka anggap sebagai "menakutkan". Maka golongan liberal berharap perkara-perkara ini jangan didendangkan, supaya Islam nampak indah dan seronok untuk diamalkan. Apa yang mereka harapkan adalah mendengar Allah akan mengampunkan dosa mereka jika mereka bertaubat. Tapi dalam masa yang sama, mereka tak mahu mendengar WAJIB untuk mereka bertaubat, sebab itu akan jadi isu "memaksa" yang dibicarakan pada nombor 1 di atas.Oleh itu, mereka mahu mendengar Allah menilai diri mereka atas NIAT mereka. Niat itulah yang akan buat diri mereka diampunkan walaupun melakukan kemungkaran.

Mengiktiraf niat mereka sebagai "niat yang baik". Maka segala kemungkaran tadi menjadi "suatu yang baik dan diampunkan jika ada salah silap".

Maka, lihatlah apa yang saya gariskan dalam tiga perkara di atas, kesemuanya akan menghasilkan tindakan "membiarkan kemungkaran".

1. Apabila tak boleh kata WAJIB mereka tinggalkan kemungkaran, maka mereka boleh memilih untuk terus lakukan kemungkaran lagi.Maka mereka mahu kita membiarkan kemungkaran.

2.Apabila tak boleh kata HARAM suatu kemungkaran itu, maka mereka akan anggap ia suatu yang dimaafkan. Maka mereka mahu kita membiarkan kemungkaran.

3. Apabila tak boleh kata BERDOSA MASUK NERAKA kemungkaran itu, mereka akan anggap kemungkaran mereka bukanlah suatu yang dimurkai Allah.Malah sesetengah mereka merasakan kemungkaran mereka membantu imej Islam pula, konon Islam juga membenarkan hiburan, Islam tidak mengongkong, Islam bebas. Maka mereka mahu kita membiarkan kemungkaran.

Ya, "mencegah dari yang mungkar" adalah poin penting untuk membezakan usaha dakwah yang terkehel akibat haq bercampur batil dengan usaha yang haq mutlak mengisi lengkap misi dakwah "amar makruf nahyi mungkar". Kita tak mahu lagi pondan-pondan daie yang sanggup dan rela tersenyum, mengucapkan syabas, malah gembira apabila aksi-aksi mungkar berjaya dimanipulasi untuk menyampaikan 'dakwah amar makruf' mereka. Pada mereka semua yang 'mengajak pada kebaikan' atau 'yang ada pengajaran' itu adalah suatu dakwah walaupun dibuat dengan sengaja, bangga, dan kembang hidung akan kemungkaran untuk mencapainya.

Ya, saya memang maksudkan komentar-komentar saya terhadap pengusaha drama dan filem konon islamik di negara kita. Sebab komentar saya itu tidak bias, untuk segala misi mencegah dan menghapuskan kemungkaran yang melanda dunia "hiburan" tanah air. Apabila saya "bantai" drama dan filem islamik mungkar, tentulah akan terpukul sekali semua filem dan drama gila mungkar, konsert-konsert maksiat, rancangan-rancangan televisyen sesat, dan pastilah pusat-pusat hiburan duduk dalam kelompok yang sama, saya panggilnya dahulu hedonisme yang dihuni oleh sekularisme artis.

Saya harap Dr Asri belajar dari Ustaz Kamaruddin Kasim bersama squad LANDASnya. Permintaan Ustaz Kamaruddin untuk semua pendakwah, ustaz-ustaz, ulama dan tok-tok guru turun padang sudah lama diperjuangkannya dengan istilah "Dakwah Lapangan". Tonton


IMAN

Apabila kita berdakwah persoalan iman adalah tonggak dan isu utama. Kita tidak mengajak orang masuk islam tanpa menjelaskan, syarat memeluk islam adalah mengimani kalimah syahadah. Sekadar menyebut kalimah tanpa mengimaninya tapi hanya mahu digelar muslim, mungkin kita tak dapat berbuat apa-apa melainkan terus berterusan menjelaskan iman dan cara hidup islam sebenar pada mualaf itu.

Hari ini kita dapat lihat perkahwinan artis muslim kita dengan bangsa-bangsa asing berjaya menarik mereka memeluk islam. Tapi hakikatnya, artis kita itu cara hidupnya tidak islamik walaupun mungkin kita tak pertikaikan keimanan mereka pada kalimah. Hasilnya, suami atau isteri artis itupun kita lihat masih hidup sepertimana hidup mereka sebelum islam. Artis itu tak ada usaha mengubahnya, kerana hidup dia yang muslim pun hidup cara kafir juga! Maka iman pasangannya sekadar iman menyebut kalimah, bukan iman pada kalimah.

Apabila kita bersaksi tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah s.w.t, maka secara automatik kita bersedia 100% mengikut segala perintah Allah semampu daya. Semampu daya bererti buat apa yang terdaya, berusaha untuk meningkatkan daya bagi mana yang tak berdaya.Bukan buat apa yang terdaya, tapi mana yang tak berdaya dibiarkan terus tak berdaya.Itu bukan cara hidup muslim.

Apabila kita bersaksi bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu pesuruhNya, maka segala syariat dan sunnah yang diajarkan nabi akan kita ikut dan patuh. Kami dengar dan kami taat. Kita tak akan berani melawan sunnah nabi,kalau kita tak berdaya melakukannya. Kita tak suruh orang tinggalkan segala yang sunat ,konon pada pendapat kita islam hanya menyuruh yang wajib sahaja. Kita tak akan ubah-ubah yang wajib, konon pendapat kita islam benarkan tinggal yang wajib jika darurat atau waqi' berbeza. Padahal yang anehnya darurat itu mereka terus meraikannya, malah hidup menyanjungnya. Ada pula yang cuba melebarkan darurat ke wilayah lain. Pelik dan hairan.

DARURAT

Contohnya, suatu ketika dulu hanya ada bank konvensional dan tidak ada bank islam. Kita anggap menggunakan bank itu adalah darurat. Maka sewajarnya kita menggunakan pada keperluan mendesak sahaja. Anehnya, sudah tahu menggunakan bank itu darurat, mereka boleh pula membuat pelaburan dan mengembangkan harta dan saham dan menjadi kaya kerananya. Samalah asas kesnya dengan makan babi. Makan babi itu dibolehkan ketika darurat, untuk mengelak maut dan ketika tidak ada makanan lain.Mereka pula siap masak rendang babi, siap buat babi salai, makan babi goreng dengan nasi dan kicap! Dah ada nasi dan kicap, itu dah menafikan wujudnya darurat untuk makan babi.

Samalah apabila mereka katakan "tidak menutup aurat pelakon" adalah disebabkan darurat yang melanda industri drama dan filem sekarang. Macam bank konvensional, macam makan babilah kononnya, darurat lagi katanya tidak mengapa. Tapi sambil kata tak boleh tutup aurat pelakon, mereka boleh pula tutup sebahagian aurat pelakon dan sesetengah babak, malah ada yang letak watak pelakonnya memakai purdah lagi. Itu dia, purdah pun boleh dipakaikan dalam banyak juga babak, tapi mengapa masih mahu beralasankan hijab atau tudung "terpaksa" dibukakan dalam babak lain atas alasan DARURAT? Saya lihat kes ini sama macam makan babi goreng bersama nasi dan kicap tadilah. Konon TERPAKSA makan babi goreng kerana darurat, tapi boleh pula ada makanan halal sampingan seperti nasi dan kicap. Pelik tapi benar.

Ya, kita tahu perbuatan beralasankan darurat untuk menghalalkan nafsu kita mencapai sesuatu hal keduniaan adalah persoalan iman. Kita tak menafikan isu haq bercampur batil dalam karya drama atau filem umat kita hari ini adalah kerana persoalan iman pembikin drama dan filem itu bermasalah. Kita juga tahu apa yang ada dalam kotak pemikiran pelakon-pelakon muslimin dan muslimat kita yang menguasai lebih 90% industri lakonan tanah air. Senang cerita dunia artis ini, kita tahu kerosakan dan kepincangan iman pesertanya.

TAK KISAH

Apabila mereka ambil gambar berpeluk-pelukan bukan mahram, kita tanya "mengapa ambil gambar berpeluk-peluk?". Apa mereka jawab? "Itu masa majlis hari jadi kawan saya. Jadi kami pun ambil gambar rapat-rapat. Tak ada lebih-lebih pun. Perempuan yang jelir lidah pula dia cuma buat aksi macam itu saja. Tak kena mulut saya pun. Sekadar bergambar." (klik sini)

Hari ini alasan "sekadar bergambar, sekadar sebuah lakonan" adalah dalil aqli yang mereka pakai untuk menghalalkan perbuatan mungkar itu. Ini bukan lagi persoalan iman kerana mereka tak letakkan alasan "darurat" seperti sebelumnya, tapi ini persoalan kejahilan akan batas agama. Kejahilan ini memang tak boleh dinafikan puncanya berbalik semula pada iman. Sebab saya sudah sebut tadi, iman kita kepada Allah adalah bersedia melaksanakan perintahNya semampu daya. Semampu daya bererti buat yang mana terdaya, berusaha meningkatkan daya mana yang tak berdaya. Menambah ilmu pada mana yang jahil. Elak sungguh-sungguh perbuatan mungkar.

Kalau saya bercakap persoalan iman dunia artis ini seolah-olah dunia artis ini macam satu dunia dimensi lain, saya silap. Persoalan dunia artis ini tidak lain tidak bukan adalah persoalan iman keseluruhan masyarakat kita. Saya percaya dunia artis malaysia hari ini sedang diserbu oleh anak-anak muda atau mereka panggil sebagai artis baru. Dari mana datangnya anak-anak muda ini? Tidak lain tidak bukan adalah dari masyarakat kita juga. Kalau anda duduk dalam halaqah orang-orang soleh, anda tidak akan bimbang dengan keadaan umat kita. Tapi jika anda berhadapan dengan umat, bermusafir ke wilayah lain bertemu umat, mengetuk dari pintu ke pintu menziarahi umat, bersapa berbincang dan muzakarah bersama ahli masyarakat, anda tak akan dapat lari dari rasa sedih yang memilukan, rasa benci akan kemungkaran dan dosa yang berleluasa seterusnya akan menggerakkan anda untuk bertindak berusaha membaiki. Itu pun jika anda ada iman.

Selemah-lemah iman terlintas kemungkaran di depannya adalah kebencian kita dalam hati. Maksud selemah-lemah iman, bukanlah maksudnya cukup kita ada iman peringkat itu tapi adalah iman paling asas dan tidak ada lebih bawah dari peringkat itu. Makanya, adakah benci itu dalam hati anda ketika menonton aksi-aksi yang menyedihkan melanda drama dan filem kita? Atau anda selamba badak saja, dan mengatakan "Iman Tak Kisah!". Kepala anda fikir tak kisah, tapi setiap pergerakan hati anda, Allah kisah.

Kita ini nak dapat redha Allah dengan membiarkan hati kita rasa tak kisah dengan kemungkarankah? Alasan, "alah, mereka itu berlakon saja. biarlah mereka buat kerja mereka, kerja kita adalah mengambil mesej yang baik dari lakonan mereka". Saya tak faham bagaimana orang yang ada iman, tak boleh ada rasa bimbang sehingga dia boleh selesa sahaja dan bukannya tak senang duduk sepertimana yang saya faham. Kalau ada banyak pencuri di kawasan kita, kita tak senang duduk bukan? Sebab apa, kita rasa takut pada seksanya kalau harta kita dicuri. Tapi ada tak kalian rasa tak senang duduk apabila dosa dan kemungkaran sudah dianggap biasa dan tak lagi disensitifkan, padahal anda tahu membiarkan dosa berleluasa dalam masyarakat, seksa azab Allah yang pedih itu akan melanda kita juga walaupun hebat mana kita beramal soleh!

CELIK MATA HATI



Tapi hal ini berlaku pada umat hari ini, ada yang hatta jika ditakdirkan mereka dinikahkan dengan seorang artis, dan bini mereka berpeluk dengan pelakon lelaki bukan mahram, mereka akan tak kisah malah menghormati kesudian isterinya untuk dipeluk, dicium dan digomol.Hilangnya sensitif mereka pada iman, pada agama, malah pada naluri kebiasaan seorang suami pun lesap. Orang kafir normal pun ada rasa bengang dan marah juga kalau isteri mereka bermesra, dicium dan digomol lelaki lain. Ini fitrah. Perasaan marah pada benda yang melanggar fitrah adalah biasa dialami oleh yang beriman atau yang tak beriman. Tapi hari ini, yang beriman jadi lebih tak kisah dari yang tak beriman.

Siapakah penonton yang celik mata hati? Dia boleh menonton kononnya orang berkata drama atau filem itu ada pengajaran agung, tapi jika mata hatinya celik dengan iman, mahu atau tak mahu rasa bimbang, rasa tak senang duduk, rasa marah, rasa benci pada kemungkaran akan tercetus apabila dia menyaksikan lakonan muslimin dan muslimat itu dilakukan secara mungkar. Yang tak celik mata hati dengan iman adalah yang duduk rileks,muka selamba badak, berfantasi konon-kononnya watak suami isteri dalam lakonan itu memang watak suami isteri sebenar, melupakan sekejap realitinya pelakon yang berpeluk bercium itu adalah bukan mahram, malah umat islam saudara kita sendiri yang patut kita kasihi mereka dan tak akan biarkan mereka diperkotak katikkan.

Mentang-mentang artis itu banyak berdosa di luar set, kita pula berkata, tak apalah dia sambung buat dosa dalam set penggambaran asalkan aku dapat pengajaran dan mesej positif untuk hidup aku. Ini kegilaan apa pula? Sayangkah tidak kita pada saudara semuslim kita? Kita mahu diri kita sendiri berubah menjadi lebih baik, patutnya itulah sikap kita pada saudara semuslim kita. Kita patut sayang mereka sepertimana kita sayang diri kita. Kalau kita ini tak mahu buat mungkar, kita juga tak mahu saudara kita buat mungkar. Kalau kita ini takut masuk neraka, kita juga akan berusaha selamatkan keluarga dan saudara kita dari api neraka!

ZaffanKhalid menulis di so called iluvislam.com ketika mengulas drama Nur Kasih yang ditontonnya,

Samada melihat orang disekeliling kita, mahupun kita melihat diri sendiri. Seburuk manapun, setiap diri punya kebaikan di dalam hati. Yakinlah.

Ujian datang dan pergi. Mata hati yang celik membuatkan diri mencari. Akhirnya membentuk diri. Sebelum pulang menuju ilahi.

Syaratnya diri sendiri!


Leokid membalas,

Bagus, artikel dan penonton sebegini yang kita mahukan.

Bukan hanya menonton NK semata-mata sebab ternanti2 kecantikan Nur atau ke-hensem-an Adam,

tetapi menonton dengan mata hati yang celik.


Penonton yang menonton dengan mata hati yang celik, mindanya berligat-ligat mencari hikmah, pengajaran, membanding-bandingkan situasi dalam cerita yang ditonton dengan realiti dirinya, mencungkil seribu satu macam persoalan serta berusaha untuk mengaplikasikan 100% manfaat yang boleh diperolehnya dari cerita-cerita mahupun filem-filem seperti ini.

sumber


Anda timbang sendiri, celik apa yang mereka maksudkan. Mata hati apa yang mereka maksudkan. Mereka sayang diri mereka sendiri, tapi kasih sayang mereka pada umat tak sama yang Nabi anjurkan.Mereka tak kisah dengan kemungkaran asalkan diri sendiri dapat faedah. Pergi jahanam saudara mereka dengan dosa, apa mereka peduli. Risau dan bimbang pada umat, kosong. ummati ummati ummati. Kita ini nafsu nafsi nafi nanti nak mati menuju ilahi dengan hati yang mati.